6 didakwa rompak artifak bernilai hampir RM500 juta

26

2 SEPT: Enam lelaki didakwa di Jerman hari ini atas tuduhan merompak lebih sedozen artifak bertatahkan permata bernilai lebih 100 juta euro (RM492 juta) daripada muzium negara itu.

Suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 27 tahun itu didakwa terbabit dalam rompakan berkumpulan dan melakukan pembakaran pada tahun 2019.

Dua daripada mereka sebelum ini turut mengemparkan negara itu apabila didapati bersalah merompak syiling emas seberat 100 kilogram daripada Muzium Bode Berlin pada 2017.

Suspek yang bersenjatakan revolver dan pistol automatik dengan penyerap bunyi, didakwa memecah masuk ke muzium Green Vault di Dresden pada 25 November 2019, dan melarikan 21 barang kemas yang bertatahkan lebih 4,300 permata.

Pendakwa raya dalam satu kenyataan memaklumkan, nilai insurans pada barangan yang dirompak itu mencecah 113.8 juta euro (RM560.6 juta).

Pendakwa raya memaklumkan, tiada satu pun barangan yang dirompak itu berjaya ditemukan setakat ini, dan penyiasat masih mencarinya. Suspek dipercayai memulakan kebakaran bagi memutuskan bekalan elektrik untuk lampu jalan di sekitar muzium itu sebelum rompakan dilakukan.

Ketika melarikan diri ke Berlin, mereka didakwa membakar sebuah kereta Audi S6 di dalam parkir bawah tanah, yang menyebabkan 61 kenderaan mengalami kerosakan.

Nilai kerosakan pada semua harta benda itu dianggarkan mencecah lebih satu juta euro (RM4.9 juta).

Sebelum ini, Istana Diraja Dresden yang mengendalikan muzium terbabit, memaklumkan barangan yang dirompak adalah barang kemas pada abad ke-18 yang tidak ternilai, serta beberapa barangan berharga lain daripada koleksi pemerintah Saxon, August the Strong.

Ia termasuk sebilah pedang yang pemegangnya bertatahkan sembilan permata besar dan 770 permata kecil, dan pangkalnya mengandungi permata putih Dresdan 49 karat yang terkenal.

Pendakwa raya tidak menamakan saspek, namun ketika perompak itu diburu, polis mengesahkan mereka terdiri daripada anggota ‘kerabat Remmo’, keluarga berasal dari Arab yang terkenal dengan jenayah terancang. – AFP

Get real time updates directly on you device, subscribe now.