KKM mungkin perkenal ujian saringan individu tolak vaksin

50

1 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) kemungkinan memperkenalkan dasar ujian saringan kebangsaan yang akan mewajibkan individu tanpa alasan perubatan enggan mengambil vaksin COVID-19 menjalani ujian saringan secara berjadual.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia berikutan pada ketika ini kerajaan masih tidak mewajibkan pemberian vaksin terhadap semua penduduk di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan menggalakkan serta memberikan keistimewaan terhadap mereka yang sudah mendapat vaksin untuk melakukan perkara yang tidak dibenarkan terhadap individu yang tidak mengambil vaksin.

“Saya akan berbincang dengan pasukan di KKM untuk melihat apa yang boleh dilakukan terhadap kelompok yang enggan mendapatkan vaksin dan tidak mempunyai sebarang alasan kesihatan untuk menghalang mereka daripada mendapatkan pelalian.

“Ia adalah antara perkara yang sedang dilihat iaitu strategi ujian saringan kebangsaan atau dasar ujian saringan kebangsaan selepas ini.

“Selepas kita memasuki fasa endemik, sama ada anda divaksin atau tidak, anda perlu menjalani ujian saringan secara kerap. Atas sebab itu kita mahu menjadikan ujian lebih mudah dan murah untuk didapati.

“Mereka yang enggan mendapatkan vaksinasi perlu menjalani ujian saringan berjadual, namun pilihan saya jika anda tidak mempunyai alasan perubatan untuk tidak mendapatkan vaksin pergilah mengambil vaksin,” katanya memaklumkan perkara itu belum sampai ke tahap cadangan kepada Kabinet.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy berkata, isu segelintir guru yang enggan divaksin juga berlaku dalam sektor lain.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan menggalakkan desakan sektoral yang bukan bersifat perundangan, sebaliknya pengurusan syarikat atau sekolah boleh menetapkan pekerja atau sumber manusia masing-masing mendapatkan vaksin sebelum boleh menghadiri mesyuarat atau datang ke tempat kerja.

Sementara itu, Khairy berkata, satu ciri khas akan diperkenalkan dalam aplikasi Mysejahtera.

“Ia bagi golongan yang tidak boleh menerima vaksin atau tidak boleh melengkapkan vaksinasi atas faktor perubatan serta mendapat pengesahan doktor, selain prosedur operasi standard (SOP) khusus juga akan dikeluarkan kepada golongan itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.