Kerajaan bantu penjawat awam perbaharui insurans kenderaan

16

1 SEPT: Kerajaan sedia membantu penjawat awam memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan secara ansuran tanpa faedah melalui potongan gaji.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata inisiatif itu boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Saravanan berkata, kemudahan itu akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan sebuah syarikat takaful.

“Ketika ini premium insurans kenderaan dan cukai jalan cukup mahal. Jadi, penjawat awam akan diberi ruang dan peluang untuk membayar secara ansuran,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di KSM di Putrajaya hari ini bersama Timbalannya, Datuk Awang Hashim.

SARAVANAN

Mengulasn lanjut, Saravanan yang kembali menerajui KSM di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah berkenaan adalah antara 20 inisiatif khas berimpak besar yang akan dilaksanakan sebagai pencapaian 100 hari pertama seperti yang dikehendaki Perdana Menteri.

Beliau berkata, kemudahan itu juga mungkin diperluaskan kepada pesara kerajaan setelah perbincangan mengenainya dengan pihak berkepentingan diperhalusi.

Saravanan berkata, KSM menerusi PERKESO akan meneruskan cadangan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) iaitu perlindungan keselamatan sosial untuk kira-kira 2.99 juta surirumah pada tahun depan.

“Seramai 150,000 surirumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan di bawah skim terbabit. Penyertaan adalah secara sukarela bagi surirumah yang lain,” katanya.

“SKSSR yang menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit atau kematian, adalah pengiktirafan kepada peranan surirumah dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara,” katanya.

Saravanan berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu pembangunan kemahiran, perkhidmatan pekerjaan dan pematuhan aspek perburuhan, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta perlindungan sosial dalam tempoh 100 hari akan datang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.