Siddiq Fadzil, bekas Presiden Abim meninggal dunia

50

31 OGOS: Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bangi jam 6.32 petang tadi.

Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Fadhlina Siddiq dalam Facebook beliau hari ini.

“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Dengan berat hati, saya memaklumkan ayahanda kami telah pergi selamanya,” tulis Fadhlina tanpa memberitahu punca pemergiaan beliau.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Annur di Bangi dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selain menjadi Presiden ABIM ketiga, Siddiq, 74, tokoh pemimpin gerakan Islam itu juga pernah dilantik sebagai Presiden Kolej Dar al-Hikmah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Allahyarham pernah dinobatkan sebagai  Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang pertama.

Selain pernah menerajui gerakan Islam, beliau pernah menjadi pemimpin gerakan belia dan sezaman dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.