Hayati Semangat Malaysia Prihatin, Bersama Perangi Pandemik

19

31 OGOS: Seluruh rakyat Malaysia diseru agar bersama-sama memghayati tema sambutan Hari Kebangsaan 2021,  Malaysia Prihatin dan memupuk sifat keprihatinan dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prihatin adalah satu sifat mulia yang perlu ada dalam diri setiap rakyat terutama ketika negara kini sedang berdepan dengan ancaman pandemik.

“Bila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita. Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara.

“Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita.

“Saya pasti, dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan terus kekal aman makmur,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh masyarakat.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hari ini berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam keadaan suasana norma baharu ekoran pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.