Belanjawan 2022 fokus agenda pemulihan negara

27

31 OGOS: Kerajaan akan merangka Belanjawan 2022 dengan matlamat untuk melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi dan memangkin pembaharuan sosio-ekonomi.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Belanjawan 2022 dirangka dengan jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik COVID-19 pada tahun depan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan tiada pihak yang layak tercicir dalam Belanjawan 2022, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan khususnya pihak yang teruk terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan tahun ini.

“Belanjawan ini juga menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan memacu  pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan belanjawan yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia.

“Kerajaan juga berharap dengan penerbitan Kenyataan Pra-Bajet akan membantu menetapkan tahap jangkaa rakyat terhadap Belanjawan 2022 yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan pra-belanjawan hari ini.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2022 akan meneruskan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membawa keluar Malaysia daripada kemelut, melindungi serta memulih kehidupan dan mata pencarian pasca pandemik.

Beliau berkata kerajaan juga berharap Belanjawan 2022 akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

“Belanjawan 2022 turut menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

“Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan,” katanya.

Katanya, Belanjawan 2022 akan menekankan usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis bagi membina semula daya ketahanan negara.

“Belanjawan 2022 akan dilaksanakan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

“Di samping tumpuan kepada aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, Belanjawan 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

“Dari aspek pendidikan, infrastruktur dan aplikasi digital, ia perlu dipertingkatkan bagi membolehkan sistem pendidikan membuat penyesuaian dengan keperluan belajar secara dalam talian di rumah.

“Selain itu, bagi sektor perniagaan, aplikasi dan infrastruktur digital turut memainkan peranan penting sepanjang tempoh PKP bagi memastikan sektor ini kekal beroperasi dan produktif,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan, penekanan juga akan diberikan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi IR 4.0 dan transformasi digital serta meningkatkan keupayaan modal insan negara melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan.

Belanjawan 2022 akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

“Belanjawan 2022 turut mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen Kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, krisis COVID-19 juga memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan bernilai tambah tinggi.

“Untuk yang demikian, Belanjawan 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan, dengan memberi penumpuan kepada pencapaian SDG, RMKe-12 dan WKB 2030.

RMKe-12 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada September 2021 adalah fasa pertama pelaksanaan WKB 2030, dengan Belanjawan 2022 juga akan dijajarkan kepada keutamaan RMKe-12.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.