PKPD di 7 kawasan di Sabah, Kelantan dan Pahang

24

30 OGOS: Tujuh lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, mulai Rabu ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata dua lokaliti dikenakan PKPD di Sabah ialah membabitkan Kampung Lotong, Kota Marudu  dan Kampung Penangah, Tongod.
.
Rodzi berkata tiga lokaliti di Kelantan dikenakan PKPD ialah Kampung Lata Tuai, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian di Lata Rek, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai.

Beliau berkata dua lokaliti lain yang dikenakan PKPD ialah Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di Bera, Pahang.

RODZI

“Pelaksanaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN menerima maklumat penilaian risiko penularan COVID-19 dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan boleh didapati di laman web rasmi MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN juga bersetuju melanjutkan beberapa PKPD termasuk Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang dan PKPD Kampung Hidayat, Batu 4, Tawau, Sabah, sehingga 14 September depan.

“PKPD di Kampung Luit, Maran, Pahang; lima lokaliti di Tawau Sabah membabitkan Kampung Mentadak Baru Pulau Sebatik, Kampung Sri Aman, Batu 3 1/2 Jalan Apas; Taman semarak Jaya, Lorong Damai Jalan Damai dan Lorong Haji Marzuki, Jalan Damai Kampung Kuala Abai, Kota Belud, Sabah, pula ditamatkan mulai esok,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.