Keluarga Malaysia bersama dalam peperangan melawan COVID-19

21

30 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, mengajak rakyat Malaysia untuk berusaha bersama-sama kerajaan bagi memulihkan daripada ancaman COVID-19 dan masalah ekonomi sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-16, esok.

Ismail Sabri berkata cabaran yang sedang negara hadapi sekarang belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia kini berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi yang turut menggugat kestabilan politik negara dan di seluruh dunia.

“Sempena hari kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19, sebagai musuh yang paling utama. Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segeralah mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara. Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-64, esok.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata berdasarkan data dan fakta, beliau yakin negara mampu memenangi peperangan melawan COVID-19 akhirnya dengan kerjasama seluruh Keluarga Malaysia.

“Pada tarikh keramat ini, marilah kita berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum. Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa dan telah pergi meninggalkan kita.

“Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.