Dewan Negara perlu main peranan lebih aktif- Rais Yatim

9

30 OGOS: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan zaman Dewan Negara bersifat pasif sudah berlalu dan kini tiba masanya untuk diaktifkan, dijelma dan dilaksanakan sebagai dewan tertinggi tanah air.

Rais berkata proses transformasi Parlimen adalah menerusi lunas-lunas tertentu dan bukannya diputuskan seseorang atau sesuatu institusi.

“Harap hormat Parlimen ini dan kita akan gunakan kuasa kolektif kita bagi memperbaiki keadaan menerusi undang-undang dan Peraturan Mesyuarat.

“Ingin saya cadangkan zaman Dewan Negara untuk menjadi pasif sudah berlalu, zaman untuk kita aktivasikan Dewan Negara sebagai dewan tertinggi tanah air, haruslah menjelma dan dilaksanakan,” katanya ketika berucap di majlis mengangkat sumpah jawatan tiga Ahli Dewan Negara di Dewan Negara di sini hari ini.

Tan Sri Dr Rais Yatim

Berikutan itu Rais berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan, memiliki kuasa undang-undang agar sesuatu isu yang membelenggu rakyat dapat diselesaikan dengan tuntas oleh kerajaan yang baharu dibentuk Kabinetnya.

Rais berkata, menurut Peraturan Mesyuarat 18 dan Aturan 13(1)(f), rakyat boleh terus mempestiyen Dewan Negara melalui Ahli Dewan Negara yang dilantik.

Terdahulu tiga lantikan senator berkenaan yang mengangkat sumpah hari ini ialah Datuk Seri Ti Lian Ker, Datuk Razali Idris dan Md Nasir Hashim, iaitu lantikan semula penggal kedua oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lantikan Lian Ker berkuat kuasa mulai 10 Ogos lalu hingga 9 Ogos 2024, manakala Razali dan Md Nasir mulai 27 Ogos lalu hingga 26 Ogos 2024.

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Rais pada masa sama mengingatkan mereka supaya melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.

Beliau turut menasihati agar senator menilai prestasi penggal pertama dan mempertingkatkan dalam penggal kedua, selain bekerja keras menunaikan tanggungjawab kepada institusi legislatif dan rakyat yang terhimpit dengan pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.