Negeri Sembilan hampir capai imuniti kelompok

54

29 OGOS: Negeri Sembilan hampir mencapai imuniti kelompok apabila 76.4 peratus penduduk di negeri itu yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap vaksinasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sehingga 27 Ogos, seramai 76.4 peratus atau 622,081 orang atas umur 18 tahun sudah lengkap divaksinasi.

“Ini bermakna Negeri Sembilan semakin menghampiri imuniti kelompok.

“Keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baharu. Contohnya semalam hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan data di laman Facebooknya, seramai 762,161 individu sudah mengambil dos pertama, manakala 622,081 sudah lengkap proses vaksinasi di negeri Adat Pepatih itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP supaya kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Khamis lalu, Aminuddin juga mengumumkan Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN mulai 26 Ogos dengan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi.

Beliau dilaporkan berkata, rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin dibenarkan dengan mengemukakan kad/sijil digital vaksinasi COVID-19 dan Mykad sebagai bukti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.