Lantikan dua wakil Sabah sesuai dengan situasi semasa

62

27 OGOS : Isu pembangunan pendidikan dan infrastruktur Sabah dijangka dapat diberikan tumpuan menerusi pelantikan dua timbalan menteri dari negeri itu di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemilihan wakil dari Sabah untuk jawatan Timbalan Menteri Pendidikan II dan Timbalan Menteri Kerja Raya itu amat bersesuaian dengan situasi semasa di Sabah.

“Pembangunan pendidikan dan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya serta bekalan air masih menjadi isu penting yang perlu diperjuangkan pemimpin dari negeri ini agar dapat diatasi melalui kerjasama Kerajaan Pusat.

“Pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II dilihat dapat membawa isu pendidikan yang berpanjangan di Sabah untuk diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Datuk Seri Bung Mokhtar

Dalam pada itu, Bung Moktar menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai berita baik untuk negeri Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu boleh menjadi jambatan antara Kementerian Kerja Raya Persekutuan dan negeri.

“Ia penting dalam mewujudkan kolaborasi yang lebih padu bagi memenuhi keperluan pembangunan insfrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan lain-lain infrastruktur di Sabah. 

“Pembentukan Kabinet baharu persekutuan hari ini jelas memperlihatkan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.