PM dijangka umum barisan Kabinet baharu hari ini

172

26 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

Istana Negara dalam kenyatanya yang disiarkan di Facebook menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula jam 11 pagi.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

“Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong (depan) dan Raja Permaisuri Agong (kiri) berkenan santap tengah hari bersama Ismail Sabri di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” kata kenyataan tersebut.

Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri di Istana Abdulaziz.

Kenderaan rasmi yang membawa Perdana Menteri dilihat keluar dari pekarangan Istana Abdulaziz pada jam 1.38 tengah hari selepas beliau memasuki kompleks berkenaan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dijangka mengadakan sidang media petang ini untuk memaklumkan mengenai senarai Jemaah Menteri.

Pihak media juga sedang membuat persiapan menunggu pengumuman tersebut.

Terdahulu, portal berita PNBBC melaporkan Perdana Menteri, hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini dan selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada  Sabtu lalu.

Untuk rekod, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.