Tunku Azizah Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Frontliners

23

25 OGOS : Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih di atas kerja keras petugas barisan hadapan, khasnya golongan wanita dalam menangani penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Tunku Azizah bertitah, petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis adalah benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan semua wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak COVID-19,” titah baginda sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus COVID-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan di kalangan golongan wanita perlu diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini selepas kita melalui kesulitan wabak COVID-19, amat tepat masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda. 

Baginda juga berbangga dengan penglibatan kaum wanita dalam memberi sumbangan sukarela ketika musibah COVID-19 melanda negara, termasuk mereka terlibat dengan kerja kebajikan seperti menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), badan bukan kerajaan (NGO) wanita banyak memberi sumbangan membanteras wabak COVID-19.

“NCWO pula mengutip derma untuk membekalkan pakaian pelindung diri (PPE) bagi wad COVID-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. 

“NCWO juga menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup muka dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titah baginda

Get real time updates directly on you device, subscribe now.