Berhati-hati ambil pekerja asing – Polis Sabah

13

25 OGOS: Polis Sabah memberi amaran kepada majikan supaya lebih berhati-hati dan memastikan pekerja asing yang mahu diambil bekerja memiliki dokumen peribadi yang sah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata tindakan pengambilan pekerja asing tanpa dokumen sah mungkin membuka ruang kepada anggota kumpulan militan menyelinap masuk dan bersembunyi di negeri itu. 

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana maklumat risikan diterima polis mendapati terdapat ramai anggota militan yang menukar nama dan menggunakan maklumat peribadi palsu untuk bekerja di Sabah.

HAZANI

“Kami bimbang pihak tertentu seperti kumpulan militan akan mengambil kesempatan terhadap keadaan. 

“Disebabkan itu saya menggesa syarikat pemaju, pemilik ladang dan majikan lain membuat pemeriksaan sewajarnya sebelum mengambil pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazani memberi amaran sedemikian susulan kematian dua lelaki disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan di Pulau Timbang, Sandakan, Jumaat lalu. 

Dua individu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan masing-masing berusia 30-an, terbunuh dalam serbuan anggota keselamatan di sebuah ladang. 

Polis sebelum itu mendapat tahu mereka merancang penculikan dua pemilik ladang di Sandakan dan Sukau untuk mendapatkan wang tebusan sebelum pulang ke Filipina.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.