Wanita tular dine in tanpa vaksinasi ditahan polis

98

24 OGOS: Tindakan seorang wanita yang belum lengkap menerima dua dos vaksin menularkan gambarnya ‘dine in’ di beberapa kedai makan bersama suami dan anaknya membawa padah apabila mereka ditahan polis, petang semalam.

Wanita dan suaminya berbuat demikian dengan melakukan eksperimen sosial menimbulkan kegusaran kepada orang ramai dan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kenyataan yang tular di media sosial oleh pemilik akaun bernama Mujaheeda Soleha.

Eksperimen sosial iaitu dine in tanpa perlu vaksinasi yang dibuat wanita ini tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

“Wanita (Mujaheeda Soleha) itu telah memuat naik kenyataan berkisarkan tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai atau dine-in bersama anak dan suami walaupun belum mendapatkan dos lengkap suntikan vaksin.

“Pemilik akaun turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar, bertindak atas aduan itu, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki dan seorang wanita berkaitan di Klang.

Beliau berkata kedua-dua suspek disyaki pasangan suami isteri telah ditahan pada Isnin sekitar pukul 5 petang di rumah mereka di Bandar Putera 2, Klang dan mereka berusia 35 hingga 36 tahun dan dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta turut disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

“Pasangan suami isteri itu tidak direman sebaliknya telah diambil keterangan semalam di IPD Klang Selatan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara kami akan melengkapkan kertas siasatan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tindakan lanjut,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.