KKM Tidak Bertanggungjawab Hantar Pesakit Pulang Dari PKRC

32

24 OGOS: Menghantar pulang pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM). 

Walau bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya memberi kemudahan menyediakan perkhidmatan ambulans bagi tujuan berkenaan dengan kerjasama beberapa agensi.

“Tugas untuk membawa pulang pesakit ke rumah mereka bukan tanggungjwab KKM, tetapi atas beberapa inisiatif pihak kami di PKRC, kita bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Majlis Daerah untuk menyediakan perkhidmatan ambulans.

“Ia bukan tugas kami memandangkan mereka (pesakit) sudah sembuh, tetapi kita ambil tanggungjawab itu untuk memudahkan urusan mereka,” katanya kepada media selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni di Kota Bahru, Kelantan, hari ini.

DR ZAINI

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai satu video tular menerusi laman media sosial memaparkan seorang wanita membuat siaran langsung di media sosial miliknya sambil berang apabila diminta pulang sendiri ke rumah selepas dibenarkan pulang dari sebuah PKRC di Kelantan. 

Wanita berkenaan turut mendakwa tugas menghantar pulang pesakit dari PKRC sepatutnya adalah tanggungjawab pihak KKM.

Dalam pada itu, Dr Zaini memaklumkan, pihaknya melakukan siasatan berkaitan video tular itu dan melihat bahawa aspek komunikasi perlu diperkemaskan supaya salah faham tidak lagi berlaku.

Beliau berkata, pesakit yang dibenarkan pulang dari PKRC juga merupakan mereka yang sudah bebas daripada jangkitan COVID-19 sekali gus tidak mempunyai masalah untuk pulang sendiri termasuk menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi dan e-hailing.

“Memang kita mengharapkan dapat memberi keselesaan tetapi masyarakat juga perlu tahu pada masa kini, kita (petugas kesihatan) berdepan dengan beribu pesakit.

“Selain itu pihak kami juga berdepan dengan kekangan petugas kesihatan yang terhad memandangkan mereka bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada rakyat di negeri Kelantan tetapi sebahagiannya telah dimobilisasi ke negeri luar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.