Hakim panggil doktor sahkan punca Zahid masuk hospital

481

24 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan doktor merawat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir ke mahkamah hari ini bagi mendapat pengesahan dakwaan Presiden UMNO itu tidak boleh menghadiri prosiding perbicaraannya kerana dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

Berikutan itu Hakim Collin Lawrence Sequerah meminta pihak pembelaan memanggil doktor berkenaan untuk hadir ke mahkamah hari ini bagi menerangkan kecederaan dan prosedur terbabit sebelum menetapkan satu tarikh lain.

Terdahulu, hakim menangguhkan hujahan akhir pendakwaan kes Ahli Parlimen Bagan Datoh membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila peguam bela mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Presiden UMNO berkenaan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah, anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Ahad lalu bagi menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang.

“Menurut doktor, beliau tidak cukup sihat untuk hadir ke mahkamah. Oleh itu, kami serahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada ingin mendengar penghujahan kami atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, pihak pembela bersedia untuk meneruskannya. Kami tidak mahu dituduh melengah-lengahkannya,” hujahnya dalam mahkamah pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia menghujahkan kes itu.

“Bagaimanapun, yang menjadi kebimbangan kami adalah, mengikut undang-undang, seseorang yang dituduh mesti hadir di mahkamah bagi kesnya,” katanya.

Raja Rozel juga menambah bahawa Ahmad Zahid boleh mengikuti penghujahan berkenaan secara dalam talian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan pengubahan wang haram, selain menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.

Berikutan itu, mahkamah dijadualkan mendengar penghujahan pada akhir pendakwaan mulai hari ini dan pada 6 hingga 9 September ini.

Sementara itu, anak Ahmad Zahid menafikan Presiden UMNO itu sengaja mereka cerita kononnya terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mengelak daripada menghadiri prosiding kesnya yang sedang berlansung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata dakwaan itu adalah fitnah semata-mata.

“Ini video pagi tadi sewaktu ayah dibawa ke OT. Saya tergerak hati nak rakam secara sembunyi tanpa pengetahuan Abah sebab saya tahu ini akan jadi bukti kepada umum bila ia diperlukan.

“Sangkaan saya amat tepat! Belum pun Abah selesai di OT, berita fitnah tersebar yang dia sedang ‘berehat’ di hospital untuk elak kes mahkamah! Tak masuk akal. Benda sakit ni bukan boleh buat-buat.

“Alhamdulillah Allah gerakkan hati saya. Saya yang bertanggungjawab tunggu dan jaga Abah sepanjang dia di hospital,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, difahamkan doktor hospital yang merawat Ahmad Zahid dijadualkan memberi penjelasan kepada hakim petang esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.