PM umum barisan Kabinet baharu minggu ini

133

23 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan akan mengumumkan senarai barisan anggota Kabinet baharunya, pada minggu ini.

Ismail Sabri berkata senarai nama anggota Jemaah Menteri baharu berkenaan akan diumumkan selepas ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata ketika ini perbincangan mengenai pembentukan Kabinet baharu sedang berjalan sebelum senarainya dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tunggu pengumuman. Senarai belum ada,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan bencana banjir lumpur dan kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengesahkan beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai siapakah Ahli Parlimen bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu Ismail Sabri menegaskan Kabinet bakal dibentuknya tidak akan disertai Ahli Parlimen pembangkang kerana kerajaan baharu berkenaan bukanya kerajaan perpaduan.

Ismail Sabri melihat sendiri suasana selepas bencana banjir lumpur dan kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah hari ini.

“Dalam Kabinet tidak ada (Ahli Parlimen pembangkang), tidak ada kerajaan perpaduan melibatkan parti pembangkang,” katanya.

Justeru, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerjasama antara kerajaan pimpinannya dengan pembangkang tidak semestinya mereka perlu berada dalam Kabinet atau melalui pembentukan kerajaan perpaduan.

“Kerjasama tak semestinya dalam Kabinet, dalam Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 mereka boleh beri pandangan. Begitu juga mereka boleh terlibat sama dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Jadi sama-sama kita menyelesaikan isu paling besar iaitu menangani COVID-19 dan ekonomi,” katanya.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata beliau akan berjumpa dengan wakil pembangkang untuk membincangkan peranan mereka susulan respons menggalakkan berikutan tawaran kerjasama dikemukakan beliau semalam.

“Nampak gaya pembangkang sudah ada respons yang menggalakkan, mereka nak bincang, insya-Allah saya akan jumpa dengan mereka untuk berbincang apa peranan mereka nanti,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri, hari ini memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri dengan pergi ke Pejabat Perdana Menteri yang terletak di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Kenderaan membawa Ismail Sabri dilihat tiba di pekarangan bangunan Perdana Putra jam 8.23 pagi.

Sebaik sahaja tiba di pintu protokol, Perdana Menteri sempat melambaikan tangannya ke arah pengamal media yang berada di pintu masuk berkenaan.

Ketibaan Ismail Sabri disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dijadualkan memulakan tugasnya pagi ini dengan mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya.

Sabtu lalu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.