Hanya 13 PPV di Lembah Klang laksana vaksinasi secara terus

68

22 OGOS: Hanya 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang akan menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk-in’ mulai esok.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil berikutan pihaknya mendapati kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV untuk ‘walk-in’ saban hari semakin berkurangan sejak ia dilaksanakan pada 2 Ogos lalu

Justeru itu, ‘walk-in’ untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 PPV tertentu sahaja.

“Antara PPV yang terpilih bagi melaksanakan vaksinasi secara ‘walk-in’ bermula esok adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.

“Turut menerima individu ‘walk-in’ adalah PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat,” kata CITF dalam satu kenyataan.

PPV KLCC antara 13 PPV yang melaksanakan vaksinasi secara terus.

Menurut CITF, terdapat empat lagi PPV secara ‘walk-in’ yang bermula Rabu dan Khamis iaitu PPV Le Pavilion Gamuda Garden di Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort manakala hari Khamis pula ialah di PPV Galaxy Mall Ampang serta di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

“Bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang disenaraikan berhampiran dengan kediaman mereka.

“Sekiranya PPV berkenaan tidak menawarkan vaksin daripada jenis yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

“‘Walk-in’ juga adalah berdasarkan kaedah ‘first-come-first-serve’ (siapa cepat dapat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV berkenaan iaitu individu ‘walk-in’ akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari itu sudah habis digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, CITF memaklumkan bagi warga asing di Lembah Klang pula kaedah ‘walk-in’ untuk mereka dikhususkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) yang akan dilaksanakan hingga hari ini sahaja.

“Kaedah ‘walk-in bagi warga asing akan digantikam dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima ‘walk-in’ bukan warganegara bermula esok.

“Langkah ini diambil supaya proses vaksinasi warga asing yang menyaksikan sambutan amat baik selama tempoh ia dilaksanakan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.
“Setiap warganegara dan warga asing yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan,” katanya.

Justeru itu, warga asing yang masih belum mendaftar untuk PICK perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my supaya janji temu dapat diberikan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.