Terima keputusan dengan cekal kata Ketua Pembangkang

85

21 OGOS: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan (PM-9) telah dibuat mengikut lunas perlembagaan, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Ismail Sabri sebagai PM-9 sebagai satu cabaran kepada pembangkang untuk bekerja lebih gigih menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, usaha tersebut supaya pembangkang dapat memenangi semula mandat rakyat yang diperoleh pada PRU lalu.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15. 

“Ini perlu agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada PRU yang lalu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pembangkang menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai PM-9.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri  baharu.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan selepas Majlis Raja-Raja Melayu selesai mengadakan mesyuarat khas semalam.

Dalam pada itu, Muafakat Nasional (MN) Selangor berkata perlantikan berkenaan akan mampu membuatkan Perdana Menteri memberikan keutamaan dan tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan membina ekonomi negara sehingga kehidupan rakyat dan negara dapat segera kembali normal.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

NOH OMAR

“MN Negeri Selangor mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih pada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri selaku PM-9,” katanya.

Pada masa sama, MN Selangor mengucapkan tahinah atas pelantikan itu dan pihaknya yakin dan percaya dengan kemampuan dan kebolehan Ismail Sabri.

“Lebih-lebih lagi setelah berpengalaman berkerja dengan beliau dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini termasuklah mencatatkan kemenangan besar dalam PRK N.24 DUN Semenyih.

“Melalui pelantikan ini juga MN Selangor yakin Ismail Sabri dapat mempertingkatkan lagi usaha ke arah menyatupadukan umat Melayu Islam dan penduduk berbilang bangsa khasnya di negeri Selangor.

“Ini khusus bagi membawa kemenangan besar dalam PRU-15 di negeri ini. MN Selangor akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.