Raja Muda Kedah tinjau lokasi banjir

15

21 OGOS: Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan meninjau lokasi kejadian banjir berikutan fenomena kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun dan Seri Perigi, Yan hari ini.

Baginda yang tiba di lokasi jam 9.45 pagi diberikan taklimat mengenai kejadian itu oleh Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah di dewan D’Yan Chalet, Titi Hayun.

Baginda turut diberikan taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat yang sedang dilaksanakan pelbagai agensi, bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang sejak kejadian itu pada Rabu.

Tengku Sarafudin kemudian meninjau beberapa kawasan terjejas di sekitar pusat rekreasi itu, termasuk kawasan rumah inap Alang Kenari Chalet.

Baginda juga meninjau kawasan rekreasi di Seri Perigi yang terletak berhampiran dengan Titi Hayun, sebelum singgah di Kampung Manggis di situ bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas.

Setakat ini, tragedi banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai telah meragut empat nyawa, manakala dua lagi masih hilang. Bencana itu turut menjejaskan kawasan sekitar gunung itu di daerah ini selain daerah Kuala Muda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.