Kerajaan Ismail Sabri Kena Sampai Ke Jiwa Rakyat

43

21 OGOS: Kabinet yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus pastikan pentadbirannya berkesan dan ‘sampai’ kepada rakyat dengan sedikit penambahbaikan dilakukan berbanding barisan sebelum ini.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, soal Kabinet itu bersaiz besar atau kecil bukan persoalan utama, namun lebih penting ia mampu menangani isu rakyat.

Menurut beliau, barisan menteri yang terbukti melakukan tugas dengan baik seharusnya dikekalkan, selain pembahagian jawatan perlu seimbang antara rakan parti dalam PN.

Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di Istana Negara hari ini.

“Tidak timbul persoalan saiz Kabinet kecil atau besar asalkan ia mampu menangani masalah rakyat.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri perlu pastikan Kabinet dibentuk bukan saja bekerja, namun berkesan kepada rakyat dan dapat membantu memerangi COVID-19 sekarang ini,” katanya kepada media, hari ini. 

Ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, seramai 32 menteri dan 38 timbalan menteri dilantik dengan tiga daripadanya adalah Senator iaitu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Pada masa sama, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau memaklumkan pihaknya menyifatkan barisan menteri ketika pentadbiran Muhyiddin sudah cukup baik, namun hanya sedikit perubahan perlu dilakukan khususnya dalam konteks komunikasi kepada rakyat.

Beliau berkata, adalah menjadi tugas Perdana Menteri baharu ini untuk memantapkan lagi pentadbiran berdasarkan panduan daripada pembentukan Kabinet terdahulu.

“Jika boleh, pembentukan Kabinet nanti menjadi kesinambungan apa yang ada sebelum ini, cuma sedikit pembaharuan supaya nampak ia lebih tegas dan memenuhi keperluan rakyat.

“Barisan pentadbiran baharu ini perlu bekerja keras khususnya dalam program vaksinasi kerana ia penting untuk kita memerangi penularan COVID-19, selain isu berkaitan ekonomi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.