Empat kesan runtuhan dikesan di Gunung Jerai

102

20 OGOS: Sekurang-kurangnya empat kesan runtuhan besar dikesan pada puncak Gunung Jerai, Yan susulan kejadian kepala air Rabu lalu.

Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Dr Ferdaus Abdullah berkata, bagaimanapun penelitian secara terperinci masih dilakukan oleh pihaknya dalam mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut beliau, pihaknya masih memerlukan maklumat menggunakan dron bagi mendapatkan gambar udara untuk membantu mendapatkan bukti konkrit sebelum menentukan apa sebenarnya berlaku sebelum tragedi berkenaan.

“Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati selain hujan pada kadar luar biasa, keadaan muka bumi gunung yang bersudut lebih 25 darjah serta ada retakan batuan kesan luluhawa, menyebabkan tanah runtuh.

“Berdasarkan maklumat daripada penduduk, kawasan runtuh itu ditutupi tumbuhan dan tanah namun selepas kejadian keadaan batuan lebih luas,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Rekreasi Titi Hayun dan Seri Perigi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakuan pemantauan awal bersama Pasukan Task Force Bencana Geologi di sekitar Gunung Jerai.

Mengulas lanjut, Ferdaus berkata, sebelum kejadian, hujan juga berlaku pada kadar luar biasa dan didapati bentuk kawasan bercerun tinggi di gunung ini juga lebih 25 darjah selain mempunyai kesan retakan batuan kesan luluhawa.

Dalam kejadian tersebut, empat meninggal dunia dan pasukan cari dan penyelamat masih mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.