Rakyat Pahang bangga pelantikan Ismail Sabri

21

20 OGOS: Pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan (PM-9) disambut baik rakyat di negara ini terutamanya di negeri Pahang.

Ia juga merupakan suatu kebanggaan kepada rakyat Pahang berikutan Naib Presiden UMNO tersebut merupakan anak jati negeri itu.

Beliau juga merupakan Perdana Menteri ketiga dari negeri itu selepas Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap semua pihak memberi kerjasama agar beliau dapat menjalankan tugas dan peranannya sebagai PM-9 dengan berkesan.

“Lebih-lebih lagi sekarang dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19 yang pada hari ini menempuh rekod baharu dengan lebih 23,000 kes positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ahmad Sabri dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai PM-9 di Istana Negara pada pukul 2.30 petang esok.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.