Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM ke-9 diperkenan Raja-Raja Melayu

102

20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu dalam pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan (PM-9)

Berikutan itu Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Ahmad Fadil berkata Raja-Raja Melayu juga menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri.

Katanya, Raja-Raja Melayu juga berpandangan proses pelantikan Perdana Menteri baharu mestilah dilakukan dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9 turut mengambil kira pandangan Raja-Raja Melayu.

Berikutan itu Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

“Pada sesi Perbincangan Khas ini, yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

“Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan. Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.