Pelantikan Ismail Sabri mampu selesai kemelut politik negara

64

20 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS berharap pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 (PM-9) akan menghentikan segala polemik politik di negara ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kerajaan mesti segera mengembalikan tumpuan kerja kepada menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, serta membina semula ekonomi negara.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik, terutama pada waktu pandemik ini.

“Sejak awal lagi BERSATU sentiasa konsisten bahawa tumpuan utama kita mestilah kepentingan rakyat. Dengan pelantikan Ismail Sabri, sekarang adalah masa untuk kembali kepada keutamaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

WAN SAIFUL

Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Naib Presiden UMNO itu sebagai PM-9.

Pelantikan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, BERSATU merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri sebagai PM-9.

Beliau berkata BERSATU juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan itu yang mana beliau adalah calon yang disepakati parti itu dan rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ismail Sabri diyakini akan dapat membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh kerajaan PN.

“BERSATU mendoakan Ismail Sabri akan sentiasa berada dalam panduan Allah sepanjang menjalankan tanggungjawab mengemudi negara berteraskan kehendak Perlembagaan dan prinsip tadbir urus yang berintegriti, telus, menghormati pengasingan kuasa, melindungi kebebasan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya.

ABDUL HADI

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Abdul Hadi berkata pelantikan itu membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

“PAS menjunjung kasih titah Agong yang telah memperkenankan pelantikan Ismail sebagai PM-9.

“PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayahnya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.