Wan Junaidi Sahkan GPS Sokong Ismail Sebagai PM

31

19 OGOS : Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu. 

Ketika ditemui selepas selesai menghadap Agong untuk pengesahan Perakuan Sumpah (SD), tanpa rahsia Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan nama Naib Presiden UMNO itu sebagai pilihannya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kredibiliti yang ada pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cukup untuk melayakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

“Saya sokong Ismail Sabri. Saya dah mengenali Ismail ni cukup lama semenjak saya menjadi Ahli Parlimen. Bayangkan saya melihat dia daripada satu kementerian kepada satu kementerian.

“Dan saya melihat dia sebagai mana yang saya telah sebut dia berkemampuan bekerja, dia mempunyai kredibiliti dan dia juga saya nampak ‘bersih’ dan sangat sensitif kepada keperluan kita (Sarawak),” katanya kepada media, hari ini. 

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu
pengalaman Ismail Sabri dalam beberapa kementerian sebelum ini dilihat sebagai salah satu bukti yang mengukuhkan kelayakannya sebagai pemimpin negara.

Datuk Seri Ismail Sabri tiba di Istana Negara hari ini untuk memghadap Agong bersama beberapa Ahli Parlimen UMNO yang lain.

Malah, beliau memaklumkan dengan latar belakang seorang peguam membuatnya arif dalam hal ehwal undang-undang di samping seorang yang sensitif dengan isu dan prihatin terhadap keperluan di negeri Sarawak.

“Sebabnya dulu sebelum Pakatan Harapan, pada 2013 dia meluluskan dua projek dalam masa yang singkat iaitu projek air untuk Lundu RM27 juta dan yang satu lagi ialah projek jalan untuk Kampung Sembilan Beradik RM65 juta diluluskan begitu sahaja satu kali saya bawa ke kabinet dilulus.

“Tetapi malangnya kelulusan itu dibatal oleh Pakatan Harapan tetapi apa yang berlaku sekarang projek air di Lundu diambil alih oleh Kerajaan Negeri GPS juga yang di Kampung Sembilan Beradik itu masih diteruskan oleh pihak kerajaan Pusat,” katanya. 

Justeru itu, dengan pendedahan yang dilakukan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu membuktikan GPS menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu. 

Ini kerana Ahli-Ahli Parlimen GPS sebelum ini hanya mencalonkan satu nama namun tidak mahu mendedahkan kepada pihak media.

Ismail Sabri sebelum ini menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Keselamatan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 7 Julai lalu namun Muhyiddin mengambil tindakan meletak jawatan selepas 15 ahli parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyebabkannya hilang sokongan majoriti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.