Sasaran 50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin dicapai lebih awal

53

19 OGOS: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini dimaklumkan bahawa lebih 50 peratus populasi penduduk dewasa di Malaysia kini sudah lengkap vaksinasi.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kejayaan itu adalah lebih awal daripada yang disasarkan kerajaan iaitu 31 Ogos ini.

Muhyiddin berkata mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

Malaysia capai sasaran lebih 50 peratus populasi penduduk dewasa lengkap vaksinasi lebih awal.

“Data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata situasi berkenaan dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang  yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.

“Apabila liputan imunisasi meningkat, kita akan melihat kes-kes COVID-19 yang perlu dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) mula menunjukkan trend mendatar and diharapkan akan menurun.

Sehubungan itu, Sidang Khas MKN pada hari ini telah bersetuju untuk memberikan kemudahan-kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan  diberikan.

Beliau berkata tindakan berkenaan perlu bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini.

“Kemudahan ini juga meletakkan tanggungjawab ke atas rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.