PM baharu kena bijak jaga hati parti gabungan kerajaan

223

19 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu pandai menjaga hati ‘rakan kongsi’ dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika beliau dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata tindakan itu perlu bagi memastikan kerajaan dan kabinet baharu dibentuknya nanti kekal utuh dan stabil.  

Tajuddin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersikap terbuka dan menghayati permintaan dan aspirasi parti-parti politik yang menyokong pencalonan Ahli Parlimen Bera itu.

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi pada era PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan cuba untuk tidak mengulanginya lagi.

Ismail Sabri perlu memastikan kerajaan dan kabinet baharu dibentuknya nanti kekal utuh dan stabil.

“Mungkin sudah ada permintaan daripada PN, BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas dan lain-lain. Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan yang akan ditubuhkan oleh Ismail Sabri, elok dibincangkan elok-elok.

“Kita mesti menjaga hati dan perasaan, dan aspirasi setiap daripada parti yang menganggotai…UMNO, BERSATU, Pas. Jadi, barulah kita boleh menubuhkan kerajaan yang stabil.

“Kita tidak mahu mengalami keadaan yang lalu di mana kerajaan tidak stabil, katanya rasa tidak puas hati, tekanan daripada parti itu parti ini. Siapa yang rugi? Kalau kerajaan tidak stabil dan dijatuhkan satu demi satu, yang rugi rakyat,” katanya ketika ditemui media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, kesemua 114 Ahli Parlimen BN, PN dan Bebas yang dikatakan menyokong Ismail Sabri, telah dipanggil ke Istana Negara untuk mengesahkan sokongan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Daripada keseluruhan 42 Ahli Parlimen BN, 41 daripada mereka telah bersetuju untuk menzahirkan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.