Ismail perlu lantik Kabinet berintegriti, hormati pengasingan kuasa

237

19 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memastikan barisan Kabinet baharu kerajaan Perikatan Nasional (PN) berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah apabila dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 nanti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan itu adalah antara syarat sokongannya kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Menurutnya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail Sabri juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya berharap proses pelantikan perdana menteri baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Ismail Sabri perlu melantik barisan Kabinet baharu kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri ke-8 itu menegaskan apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara.

Berikutan itu beliau berkata parti PN sebulat suara mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN baharu kerana lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata semua 50 Ahli Parlimen parti gabungan PN, termasuk 31 Ahli Dewan Rakyat BERSATU, 18 PAS dan satu STAR telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Istana Negara semalam menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri baharu.

Muhyiddin berkata empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN turut menyokong pemilihan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha
memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.