Serah kepada kebijaksanaan Agong pilih PM baharu

22

18 OGOS : Rakyat serta kepemimpinan seluruh negara diminta bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk melantik Perdana Menteri yang baharu.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menjunjung kasih serta menyokong penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut kepemimpinan negara ketika ini.

Beliau berkata, keputusan Seri Paduka Baginda sudah pasti berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Insya-Allah dengan kebijaksanaan baginda dan titipan doa kita semua, mudah-mudahan kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera dan Perdana Menteri yang baharu dapat dilantik.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti beliau sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Jumaat ini.

Sumber istana memaklumkan pertemuan itu dilakukan bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan

Yang di-Pertuan Agong dijangka mengumumkan keputusan baginda berhubung keputusan 220 ahli Parlimen yang memilih perdana menteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.