Lebih 10 kampung di Yan dan Gurun dilanda banjir

93

18 OGOS: Hujan lebat dan fenomena kepala air di Gunung Jerai, menyebabkan lebih 10 kawasan di sekitar Yan dan Gurun, Kedah mengalami banjir petang tadi.  

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohamad, 36, yang tinggal di kawasan itu, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.

“Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat. Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu.

Hujan lebat mengakibatkan lebih 10 kawasan di sekitar Yan dan Gurun, Kedah dilanda banjir hari ini.

“Kampung yang berada di kaki Gunung Jerai juga dinaiki air. Paling teruk yang berdekatan sungai. Malah pekan Yan turut dilanda banjir. Ini kerana lokasinya yang terletak di tepi laut.

“Paras air laut pula kebetulan ketika ini agak tinggi atau digelar air mati. Jadi ia menyebabkan banjir lambat surut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dalam satu perkongsiannya berkata beliau sudah mengarahkan pegawai khasnya Muzaini Azizan mewakili YB melawat lokasi banjir kilat di Kg Sg Badak, Gurun.

Beliau berkata tindakan awal telah diambil dengan membantu memidahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat kerana bimbang jika mereka berterusan tinggal di kediaman mereka dengan keadaan hujan lebat ini kejadian tidak diingini boleh berlaku.

“Hujan lebat di Gunung Jerai mengakibatkan air sungai melimpah ke semua tempat. Beberapa rumah yang berdekatan sungai terjejas teruk.

“Selain Sg Badak Gurun terdapat lokasi lain yang turut ditimpa nasib sama seperti Singkir, Teroi dan juga beberapa lagi kawasan sekitar Yan,” katanya yang turut berkongsi beberapa keping gambar dan mengenai kejadian banjir lumpur di laman Facebooknya hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.