Eksport Minyak, Produk Sawit Meningkat Hingga RM73.25 Bilion

60

18 OGOS : Jumlah eksport minyak dan produk berasaskan sawit telah mencatatkan peningkatan kepada RM73.25 bilion, di mana mencatatkan peningkatan lebih baik berbanding tahun lalu. 

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi kenyataan berkata subsektor sawit juga memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 sebanyak RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor agrikomoditi negara.

“KPPK percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan  kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu.

“Kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit. Pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun 2020 di Semenanjung dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar. Manakala, di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar, “katanya. 

Dalam pada itu, KPKK memberitahu bagi tempoh lima bulan pertama 2021, hasil kutipan duti eksport MSM adalah dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM11 juta.

KPPK berkata, kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit

Oleh itu, KPKK memaklumkan bagi  memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan. 

“Contohnya, syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi.

Di samping itu, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi tahun 2020. 

“la berikutan kenaikan harga MSM yang  melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021. Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat. 

Secara prinsipnya, KPKK berkata, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak. 

“KPPK percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini. 

“Di samping memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.