Kediaman Muhyiddin Jadi Tumpuan Penjawat Awam

207

17 OGOS : Kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan pada hari pertama beliau menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker, hari ini.

Beberapa kenderaan ahli politik dan pegawai tertinggi kerajaan dilihat memasuki kawasan kediaman tersebut sejak jam 11.30 pagi tadi.

Antara yang kelihatan ialah kenderaan membawa Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, diikuti sebuah kenderaan mempunyai lambang Dewan Negara.

Pada jam 11.47 pagi, kelihatan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) masing-masing membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memasuki kawasan kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu.

Kehadiran mereka dipercayai bagi membincangkan situasi terkini politik negara, selain urusan tugas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini selaras Perkara 40 (2)(a) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Seri Paduka hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ini bagi mempengerusikan Jemaah Menteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.