Perkhidmatan Awam Kekal Utuh, lancar seperti biasa

23

16 OGOS: Senario politik negara terkini telah memberikan pelbagai persepsi kepada keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan.

Justeru, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman memberi jaminan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus utuh dan lancar.

Menurut beliau, perkhidmatan awam merupakan jentera dalam sistem pentadbiran negara dan ditadbir urus bagi membolehkan dasar serta program negara berjalan dengan lancar.

“Sebagai sebahagian daripada proses demokrasi, perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam. 

MOHD KHAIRUL ADIB

“Semua penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terlibat dengan polemik politik semasa. Kita perlulah sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Tambah Mohd Khairul Adib, perkara itu selari dengan ikrar ‘Berkhidmat Untuk Negara’, kesetiaan penjawat awam adalah kepada raja, negara dan kerajaan.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan telah diarahkan untuk melaksanakan tugas selari dengan dasar semasa yang telah ditetapkan.

“Tidak kira sama ada bertugas di mana jua peringkat dan kedudukan, penjawat awam mesti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. 

“Sehubungan itu, semua warga perkhidmatan awam di bawah kementerian dan jabatan masing-masing perlu melaksanakan tanggungjawab dan bekerja bagi memastikan segala pengurusan dan pentadbiran kerajaan berjalan lancar seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam keadaan negara dan rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi dan kehidupan, penjawat awam mestilah tampil ke hadapan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi meringankan beban negara dan rakyat.

“Ini perlu agar semua perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, perancangan program menangani pandemik COVID-19 dan program vaksinasi serta program pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lancar seperti ditetapkan.

“Kita yakin semua anggota perkhidmatan awam mampu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.