Pemimpin UMNO bersyukur diberi peluang berkhidmat untuk rakyat

22

16 OGOS : Pemimpin kanan UMNO yang berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluahkan penghormatan kerana dapat berkhidmat untuk rakyat selama 17 bulan yang berakhir hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menghargai tanggungjawab yang diberi walaupun berada situasi sukar apabila negara dan dunia berdepan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, perjuangan melawan pandemik COVID-19 akan terus menjadi keutamaan semua pihak bagi meneruskan kelangsungan usaha yang dilakukan kerajaan PN.

“Satu penghargaan buat saya apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini.

“Terima kasih untuk semua saya ucapkan dan saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan.

“Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur aman dan sentosa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Pertahanan sebelum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, turut melahirkan rasa yang sama adalah Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengakui menjadi kebanggaan dan penghormatan baginya berkhidmat demi negara dan rakyat.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri menegaskan perjuangan sebagai pemimpin tidak bernoktah dan beliau tekad untuk terus berbakti dalam apa juga kapasiti demi rakyat.

“Cabaran yang dipikul sepanjang menggalas tugas ketika pandemik COVID-19 tidak mematahkan semangat untuk terus melunaskan amanah dan tanggungjawab diberikan.

“Saya bersyukur dan bertuah diberi peluang memimpin. Tak mungkin dapat saya menyempurnakan tugasan ini tanpa sokongan, dedikasi dan semangat profesionalisme serta ketekunan warga Kementerian Luar Negeri.

“Pada saya perkara paling penting adalah apa yang boleh disumbang demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya menerusi video yang dikongsikan di media sosial miliknya, hari ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.