Muhyiddin seorang negarawan kerana sentiasa utamakan rakyat

23

15 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang negarawan kerana sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan Negara.  

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, berkata perkara itu terbukti kerana Muhyiddin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak tertentu yang berniat merosakkan kestabilan dikecapi.

“Tindakan Muhyiddin menunjukkan beliau seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

WAN SAIFUL

“Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dan seluruh Kabinet hari ini menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda berkenan dengan keputusan itu serta melantik beliau sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, jasa dan pengorbanan Presiden Bersatu itu jelas dilihat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang berjalan dengan baik sehingga sektor ekonomi boleh beroperasi semula secara berperingkat.

Malah, Wan Saiful berkata jumlah bantuan yang diberikan kerajaan kepada seluruh rakyat negara ini sudah mencecah rekod yang tidak pernah disaksikan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Landasan yang disediakan oleh Muhyiddin sudah jelas. Pemimpin kerajaan selepas ini boleh menjangka kejayaan akan datang adalah hasil usaha disediakan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendedahkan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sedang bermesyuarat secara dalam talian mengenai langkah seterusnya sebagai kerajaan sementara atau caretaker government.

“Ahli-ahli BERSATU diseru bertenang dan memberi kepercayaan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi. Saya jangka Timbalan Presiden Parti akan membuat pengumuman setelah keputusan dicapai,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.