Jangan salah guna pembukaan sektor ekonomi

27

15 OGOS: Pengumuman pembukaan sektor ekonomi bermula esok perlu diambil sebagai satu tanggungjawab dan bukan kebebasan yang boleh disalah guna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 perlu menjadi keutamaan selain memastikan hanya individu yang menerima dua dos suntikan vaksin dibenar memasuki premis perniagaan.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru semua masyarakat dan peniaga agar memastikan diri sendiri, ahli keluarga dan pekerja mereka lengkap menerima suntikan vaksin selain mematuhi SOP demi kesihatan, keselamatan, kelangsungan ekonomi serta perniagaan.

“KPDNHEP yakin sikap matang dan bertanggungjawab semua pihak ini akan memastikan situasi pandemik Covid-19 bertambah baik,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa berkuat kuasa esok, 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi di negeri-negeri yang diletak dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Ujar Nanta, pihaknya menyambut baik pengumuman itu dan akan memastikan pemain industri mematuhi setiap arahan yang ditetapkan selain mengarahkan pegawai penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan serta pemeriksaan setiap hari bermula esok.

Katanya, KPDNHEP telah menghubungi hampir semua pemain industri melalui persatuan dan akan menawarkan khidmat nasihat bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.