PAS bertegas tidak mahu DAP dalam kerajaan

38

14 OGOS: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti berkenaan kekal dengan pendirian menolak DAP dalam kerajaan Malaysia.

“PAS tetap tidak setuju kalau DAP berada dalam kerajaan,” katanya kepada sebuah portal hari ini.

Tuan Ibrahim sebelum itu diminta mengulas kenyataan dan tawaran dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan ucapan yang disiarkan ke seluruh negara lewat petang semalam.

Muhyiddin yang sedang berdepan tekanan dan krisis kepimpinan menawarkan jalan berdamai untuk semua ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk memberikan sokongan kepadanya dalam usul percaya di parlimen.

Antara tawaran yang disebutkan Muhyiddin ialah peruntukan buat ahli Parlimen pembangkang yang setara dengan wakil rakyat kerajaan, serta mengangkat kedudukan ketua pembangkang di parlimen setaraf dengan menteri kanan.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Sebahagian daripada tawaran itu pula memerlukan pindaan perlembagaan seperti mengehadkan tempoh jawatan seseorang menjadi perdana menteri kepada dua penggal saja.

Sebelum ini PAS begitu tegas menolak DAP dan menganggap parti berkenaan sebagai musuh Islam dan Melayu. Bagaimanapun untuk rekod PAS pernah bersama dengan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Buat masa ini, tawaran Muhyiddin dilihat lebih merupakan perjanjian keyakinan dan belanjawan (CSA) yang memerlukan seseorang ahli parlimen menyokong kerajaan dengan tawaran tertentu.

Pada masa sama belum ada sebarang tawaran untuk jawatan menteri dibuat.

Ditanya sama ada PAS bersetuju dengan beberapa tawaran yang dibuat oleh Muhyiddin atau tidak, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menegaskan berkata PAS melihat ia sebagai jalan keluar untuk kerajaan menghadapi cabaran Covid-19 dan program vaksinasi.

“Bagi kerajaan, keutamaan ialah menyelesaikan proses vaksinasi, selamatkan rakyat daripada situasi mencabar ini sebab semua pihak terkesan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.