Kemelut politik selesai jika parti Melayu kembali bertaut

21

14 OGOS: Kemelut politik yang melanda negara ketika ini hanya boleh diselesaikan sekiranya kesemua parti berteraskan Melayu dan Bumiputera kembali bertaut dan tidak berpecah belah.

Berikutan itu Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua pemimpin yang terlibat perlu mengetepikan dendam dan politik peribadi.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, semua pemimpin politik juga perlu mendahulukan kekuatan ummah, dengan orang Melayu menjadi teras dan tiang seri politik negara.

“Bukan rahsia lagi bahawa kemelut politik masa kini tercetus apabila salah sebuah dari parti utama orang Melayu dan Bumiputera berusaha menarik keluar dari gabungan baharu PN-BN-GPS yg sebelum ini menjadi paksi utama equilibrium coalition politics‘ negara kita.

“Penarikan balik sokongan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) oleh lapan Ahli Parlimen UMNO, telah berjaya digunakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) untuk memaksa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ‘endorse’ tindakan beliau dan dijadikan keputusan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Annuar berkata, Ahmad Zahid berjaya menarik tujuh lagi Ahli Parlimen yang beliau dakwa mudah ketakutan kononnya ia keputusan parti, lalu menjadikan kesemuanya seramai 15 orang.

Beliau juga menjelaskan bahawa ketidakstabilan bagi kerajaan yang selama ini pun terbentuk dengan hanya dua atau tiga kerusi majoriti sememangnya mudah diancam.

“Namun persoalannya, apakah harga yang perlu dibayar akibat ketidakstabilan ini? Apakah rakyat merestui perbuatan ini?

“Apakah ia membawa kepada keadaan lebih baik, atau lebih memporakperandakan politik negara, dan nasib rakyat?” soalnya lagi.

Berikutan itu Annuar berkata, dalam sebuah negara majoriti Melayu dan Bumiputera, kestabilan hanya wujud apabila politik orang Melayu dan kaum Bumiputera itu sendiri padu dan stabil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.