Negara dan rakyat akan lebih terkesan jika saya letak jawatan-PM

46

13 OGOS : Sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, berdasarkan perlembagaan persekutuan, seluruh anggota Jemaah Menteri juga perlu mengambil tindakan yang sama dan ini akan menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara pada masa ini  akan jatuh.

Situasi tersebut menurut Muhyiddin,  akan menjadikan rakyat dan negara lebih terkesan, memandangkan sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dirinya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri baharu.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk. 

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual. Sedangkan tempoh dua bulan akan datang ini adalah amat genting.

“Jika semua perancangan kerajaan dapat dilakansakan seperti yang dijadualkan, kita  akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa 
rakyat akan terus berada dalam bahaya,”katanya menerusi perutusan khas bersama  memulihkan negara, hari ini. 

Justeru, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan telah mengadakan rundingan bersama barisan Ahli Kabinet dan pimpimpinan parti yang mendokong kerajaan PN untuk membuat  keputusan yang terbaik demi rakyat dan negara dan bukan kepentingan peribadi beliau dan rakan-rakan lain.

“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN bagi meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat yang membolehkan kerajaan yang ada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat. Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif. Stabil dengan dokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh. 

Kestabilan politik amat penting bagi kerajaan meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dan melaksanakan bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik COVID-19. Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini, ” tegasnya. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui sedih dan berdukacita dengan perkembangan politik mutakhir ini dan sebagai seorang manusia, Muhyiddin mengakui beliau tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan. 

“Apa lagi dalam keadaan sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik luar biasa ini sejak lebih setahun lalu.

“Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan saya dalam Kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai kerajaan, ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis,” katanya. 

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengakui kepentingan sokongan rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.  

“Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan kepada saya.

“Ini menimbulkan keraguan mengenai keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.