4 anggota TUDM maut insiden tembakan di Kem TUDM Sarawak

119

13 OGOS: Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam satu kejadian tembakan di Balai Pengawal Handau Skuandron 330, Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

“Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas. Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

AIDI

Berikutan itu Aidi berkata  dua rakannya yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

“Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

“Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,” katanya.

Katanya, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah hadir di tempat kejadian manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

Sementara itu TUDM kini sudah menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca insiden tembakan membabitkan empat anggotanya di Unit TUDM, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak, hari ini.

Ketika mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan, TUDM menjelaskan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika anggota terbabit sedang bertugas.

“Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“Pihak TUDM menggesa semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh PDRM selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.