SOP Penggembara Kuarantin di Rumah Perlu Dikaji Semula

19

12  OGOS: Kajian semula prosedur operasi standard (SOP) perlu dilaksanakan kerajaan dalam membenarkan pengembara tempatan dan warga asing lengkap dua dos vaksin yang pulang atau tiba dari luar negara, menjalani kuarantin wajib di rumah. 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata arahan terbabit tidak wajar dilakukan ketika ini kerana dibimbangi golongan tersebut dikhuatiri gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Menurut beliau, jika kuarantin di rumah dilakukan, mereka boleh keluar membeli makanan malah berjumpa kawan atau saudara-mara datang menziarah tanpa pengawasan dari pihak berkuasa. 

“Sekiranya kuarantin wajib kepada pengembara ini dilakukan di hotel ianya dapat diawasi oleh pihak berkuasa. 

MOHD KHALID

“Selain itu, ianya dapat membantu ahli-ahli kami dari sektor perhotelan menjalankan perniagaan mereka dalam situasi yang amat mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan kemudahan kepada individu sudah menerima dos lengkap vaksin baru-baru ini berkata, pengembara warganegara dan rakyat asing pulang atau tiba dari luar negara serta sudah mendapat vaksin lengkap dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah.

Perdana Menteri memberitahu, mereka kemudian akan diberikan perintah pengawasan di rumah (HSO) digital oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan jika golongan tersebut dikesan mempunyai varian lebih ganas, penularan akan menjadi lebih besar boleh berlaku. 

Beliau berkata, kerajaan perlu sedar negara masih bergelut untuk menangani varian Delta, selain kewujudan varian Lambda yang jauh lebih ganas dan berupaya melumpuhkan keseluruhan sistem kesihatan.

“MATA menggesa Kerajaan Malaysia mengenakan kembali kuarantin wajib di hotel seperti yang telah dilaksana sebelum ini. 

“Dengan kemunculan varian yang lebih ganas seperti Lambda dan Delta Plus ini, ianya boleh menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengawal pandemik itu dalam negara,” katanya.

Malah, beliau menegaskan tindakan pihak kerajaan membuka sempadan kepada mereka didalam situasi kes harian yang masih mencecah lima angka ketika ini juga dibimbangi menjadi punca penularan Covid-19 secara besar-besaran.

“Ini akan menyebabkan pengambilan masa yang lebih panjang lagi bagi pembukaan semula sektor pelancongan domestik yang telah terjejas teruk akibat pandemik ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.