Mesyuarat Pemimpin PN Kelmarin Hanyalah Pertemuan Biasa-PM

20

12 OGOS : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan perjumpaan khas bersama ketua parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) kelmarin hanyalah pertemuan biasa. 

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), enggan mengulas lanjut berhubung pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

“Ia pertemuan biasa saja, sebab sudah lama tak jumpa, elok la jumpa,” katanya dalam nada bersahaja ketika ditemui media di Marang, Terengganu, hari ini

Terdahulu, Muhyiddin yang mengadakan lawatan kerja ke Terengganu turut melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Taman Tamadun Islam di sini, sebelum mengunjungi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) kira-kira jam 5 petang semalam. 

Pertemuan itu dihadiri kepemimpinan utama parti komponen PN seperti Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Agong PN merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agong Pas merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut hadir sama, Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Star merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan

Dalam pada itu, ditanya mengenai kunjungannya ke rumah Abdul Hadi, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri memberitahu beliau hanya mahu menziarahi Ahli Parlimen Marang itu.

“Kita tahu Tok Guru Haji Hadi tak berapa sihat, tetapi saya diberi tahu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar jumpa tadi sudah semakin sihat.

“Saya ada jumpa masa di hospital hari itu, tetapi bila sudah balik sini dan mudah-mudahan beliau bertambah sihat dan dapat menjalankan kerja tugas untuk parti dan negara,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.