Kes Neelofa, suami langgar SOP ditangguh

12

12 OGOS: Mahkamah Majistret Seremban hari ini menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) dan suaminya, Haris Ismail (PU Riz) yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beberapa bulan lalu.

Perkara itu disahkan peguam pasangan itu, M Haresh, yang memaklumkan kes berkenaan sepatutnya disebut semula di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, tetapi dijadualkan semula atas arahan mahkamah.

“Tarikh pengurusan kes Neelofa dan suami dijadualkan semula pada 24 September depan berikutan pematuhan kepada Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil. 9 Tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Neelofa kemudiannya dikenakan jaminan RM5,000 oleh mahkamah atas pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.