Bincang kepentingan rakyat atau bubar DUN – Sultan Johor

51

12 OGOS: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menegaskan bahawa baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan Johor sekarang.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

Berikutan itu, baginda mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

Sultan Johor mengingatkan wakil-wakil rakyat mengutamakan masalah rakyat dan bukannya permainan politik pada Sidang DUN Johor hari ini.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu-gugat negeri dan kerajaan saya.

“Apabila wabak COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Johor bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada hari ini (12 Ogos).

Yang turut berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Baginda Tuanku Sultan, turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

“Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID-19.

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.