PDRM Tumpaskan Sindiket ‘Datuk Palsu Melaka’

44

11 OGOS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pemalsuan watikah dan pingat Darjah Kebesaran Negeri Melaka terbesar dengan penahanan 34 individu termasuk dua dalang utama, sejak awal tahun ini.

Pendedahan itu diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dalam satu sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, hari ini yag turut dihadiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.

Sulaiman berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan menerusi operasi khas bermula 22 Februari hingga 29 Mac lepas di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor hasil maklumat daripada orang awam. 

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan berusia antara 26 tahun hingga 70 tahun itu melibatkan orang tengah yang bertindak sebagai penjual, pembeli dan dua dalang lelaki berusia 40-an.

“Kejayaan itu adalah yang terbesar membabitkan sindiket pemalsuan watikah dan pingat Darjah Kebesaran Negeri Melaka membabitkan nilai jualan bermula RM50,000 sehingga RM100,000.

“Kebanyakan mereka yang terlibat dalam sindiket ini merupakan ahli perniagaan menggunakan gelaran Datuk palsu,” katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dalam satu sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.

Dalam pada itu, Sulaiman memberitahu, sindiket tersebut telah aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menyasarkan golongan ahli perniagaan, rakan terdekat dan setakat ini lebih 50 watikah serta pingat darjah kebesaran palsu telah dijual.

“Orang tengah sindiket akan mempromosikan watikah dan pingat darjah kebesaran palsu itu kepada kenalan rapat mereka dengan kebanyakan semuanya ahli perniagaan.

“Selepas pembeli bersetuju, dalang akan memproses semua watikah palsu yang dicetak sendiri di rumahnya dalam daerah ini, manakala pingat,selempang dan selebihnya ditempah dari luar negara. Kedua-dua dalang tersebut juga dipercayai mempunyai kemahiran dalam bidang percetakan digital, “katanya. 

Sementara itu, beliau memaklumkan, dalam serbuan dilakukan, pasukan polis telah merampas lapan keping watikah, 13 selempang dan 21 pingat palsu Darjah Kebesaran Negeri Melaka serta lapan keping watikah palsu Jaksa Pendamai Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk.

Tambah beliau, turut dirampas adalah tujuh set lambang kereta, dua keping kad Majlis Datuk-datuk Negeri Melaka, dua keping kad keahlian palsu Majlis Jaksa serta peralatan komputer dan aksesori.

“Polis membuka empat kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. Kedua-dua dalang turut disiasat di bawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 3 (1) (b) Enekmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) Enakmen A21 Enekmen Negeri Melaka.

Sulaiman berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan watikah dan pingat darjah kebesaran palsu yang pewartaannya tidak diiktiraf negeri ini.

“Melaka ada permohonan, ada tapisan keselamatan mesti melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Isolvensi dan polis.

“Tidak kira apa permohonan bermula dari sekecil-kecil pingat hingga yang paling tinggi akan melalui tapisan tiga agensi sebelum permohonan mereka layak,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.