Junjung titah Raja Melayu, fokus tangani wabak bersama-PAS

21

11 OGOS : Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Raja-Raja Melayu yang menyeru kepada perpaduan rakyat dan kestabilan negara.

Selain itu, beliau berkata, baginda juga mahu semua pihak seharusnya mengutamakan usaha menangani wabak yang perlu diambil perhatian ketika ini.

“Agenda penyatuan yang dibawa Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah memberi kekuatan dalam membina negara sejahtera.

“Ini bertepatan dengan titah Sultan Ibrahim dan Sultan Johor sempena Maal Hijrah yang menyeru semua pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah demi kesejahteraan sejagat.

“Begitu juga titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menegaskan bahawa kini bukan masanya untuk berebut kuasa, bersengketa sebaliknya perlu bersatu menentang ancaman pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir pemimpin yang menggangggu kerajaan dan berebut kuasa negara bedepan ancaman COVID-19.

Begitu juga titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ro’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, waktu ini bukan masanya untuk berebut kuasa, bersengketa dan berbicara tanpa berbuat apa-apa.

Dalam pada itu, Kamaruzaman memberitahu, kejayaan Rasulullah SAW yang menyatukan manusia daripada pelbagai agama dan bangsa menerusi keadilan Islam perlu dihayati setiap manusia.

Beliau berkata, teladan baginda seharusnya menjadi panduan buat umat Islam dan para pemimpin negara khusunya.

“Bersempena tahun baharu Hijrah 1443 PAS menyeru kepada semua untuk memperkasakan kesatuan khususnya dalam berhadapan cabaran Covid-19 .

“Fokus utama kita sekarang adalah untuk memerangi wabak dan mencapai imuniti kelompok bagi menjaga nyawa dan ekonomi rakyat. Keadaan sekarang bukan masa untuk berpecah belah,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.