Penggiat industri lega pelancongan domestik dibuka

38

9 OGOS: Keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada individu sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 untuk melancong dalam negeri sama sudah pasti memberikan kelegaan kepada penggiat industri pelancongan domestik.  

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah pasti memberi sinar kepada pengusaha pelancongan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan berkenaan juga  selaras Pelan Pemulihan Pelancongan dan akan memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan di negeri yang beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya.

NANCY

“Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama, dibenarkan membabitkan ‘homestay’ dan hotel bagi individu sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Pengusaha ‘homestay’ dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis, menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bahawa individu terbabit sudah menerima vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementeriannya yakin dan percaya kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah serta cara terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan, termasuk mempertimbang pembukaan berperingkat dengan persiapan rapi aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Beliau berkata, kelonggaran itu sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada semua pihak terbabit bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

“Kelonggaran ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat sudah lengkap divaksinasi untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya menasihati orang ramai yang memulakan aktiviti pelancongan di kawasan dibenarkan supaya melancong dengan selamat.

“Bersama-samalah kita memanfaatkan kemudahan diberikan ini dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam satu pengumuman khas, semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama membabitkan ‘homestay’ dan hotel, ialah antara kelonggaran diberikan kepada individu sudah menerima vaksinasi lengkap, berkuat kuasa esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.