Kes kematian COVID-19 hampir cecah angka 11,000

23

9 OGOS: Biarpun kadar kes kematian harian akibat COVID-19 menurun kepada 212 kes hari ini berbanding 360 kes maut semalam, namun jumlah kumulatif mangsa korban akibat pandemik berkenaan kini mencecah 10,961 orang, sejak kes pertama dikesan, pada 24 Februari 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 186 kes kematian akibat COVID-19 hari ini adalah membabitkan warga tempatan dan bakinya, 26 adalah rakyat asing manakala 16 kes dikategorikan sebagai kematian di luar hospital (BID).

“Selangor kekal sebagai negeri tertinggi mencatatkan jumlah kematian harian dengan 76 kes, diikuti Johor (24 kes) dan Kedah (20 kes).

“Kuala Lumpur pula mencatatkan 18 kes kematian, diikuti Pahang (16), Negeri Sembilan (14), Pulau Pinang (12), Sabah (11), Melaka (8); Terengganu (5), Kelantan (4), Perak (2), serta Perlis dan Sarawak masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 1,095 pesakit COVID-19 kini memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 579 memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada 17,236 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 372 kes (2.2 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 16,864 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 4,556 kes (26.4 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.